Wednesday, January 29, 2014

Penyakit Resdung Boleh Bawa Maut!


Secara ringkasnya resdung adalah sejenis penyakit akibat dari keradangan yang berlaku pada rongga hidung yang disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai streptococcus dan staphylococcus. Sebenarnya kedua-dua jenis kuman ini memang sedia wujud di rongga hidung kita. Jika sistem pertahanan badan masih kuat ia masih boleh dikawal tapi jika sebaliknya ia akan membiak dan seterusnya menyebabkan penyakit resdung.


Antara gejala resdung adalah hidung selalu tersumbat, sakit tekak yang berulang dan berpanjangan, bersin dan gatal hidung yang kerap, lendir keluar dari hidung dan tekak, sakit atau muka berasa berat terutama di kawasan mata. Antara kemudaratan resdung pula ialah berdengkur yang kronik, sakit tekak kronik, jangkitan nanah di sekeliling mata, jangkitan pada otak dan tulang muka, jangkitan pada telinga dan tonsil, selsema yang melarat dan alahan hidung.


Resdung terbahagi kepada 2 jenis iaitu akut dan kronik. Resdung akut berlaku dalam tempoh 2 minggu dari serangan alahan berulang yang serius pada hidung. Ia akan menyebabkan hidung tersumbat. Antara ciri-ciri resdung akut ialah hidung berair, tersumbat dan rasa berdenyut pada muka, dahi dan pipi. Serangan biasanya berlaku pada waktu pagi dan berkurangan pada waktu petang dan rasa sakit ketika tunduk dan sujud. Resdung tahap kronik berlaku setelah berlaku serangan resdung akut yang kerap. Ini akan menyebabkan penghidap resdung merasa gatal yang teruk pada bahagian muka, jerawat yang banyak tetapi ada juga yang tiada jerawat, kerap bersin waktu pagi, keluar cecair hingus berwarna hijau dan berbau busuk.


Mereka yang berisiko menghidap resdung ialah yang alah pada habuk dan makanan, mempunyai ketumbuhan dalam hidung, mereka yang mempunyai kelainan dalam hidung seperti septum dinding pemisah hidung yang bengkok dan mereka yang mempunyai turbinate dinding tepi hidung yang besar. Resdung yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan komplikasi serius kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Resdung dikalangan kanak-kanak boleh merebak ke dalam mata yang mengakibatkan jangkitan sellulitis dan nanah mata. Jika dibiarkan ia boleh menyebabkan mata menjadi buta. Punca menjadi buta ialah kerana dinding pemisah ethmoid dengan mata sangat tipis di mana sinus frontal masih belum terbentuk.


Dikalangan orang dewasa pula, nanah dari sinus frontal tidak dapat keluar dari hidung dan ia akan masuk memenuhi ruang dalam otak. Dinding pemisah akan menjadi semakin tebal dan sinus frontal telah terbentuk dengan sempurna. Ini boleh mengakibatkan ostia mudah tersumbat. Jika nanah merebak ke dalam otak, pesakit perlu menjalani pembedahan sinus frontal dan pembedahan neurosurgery dimana kes-kes sebegini kadar kematiannya meningkat sehingga 40 peratus.

No comments:

Post a Comment