Tuesday, January 28, 2014

Penyakit Resdung Boleh Bawa Maut!


Secara ringkasnya resdung adalah sejenis penyakit akibat dari keradangan yang berlaku pada rongga hidung yang disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai streptococcus dan staphylococcus. Sebenarnya kedua-dua jenis kuman ini memang sedia wujud di rongga hidung kita. Jika sistem pertahanan badan masih kuat ia masih boleh dikawal tapi jika sebaliknya ia akan membiak dan seterusnya menyebabkan penyakit resdung.


Antara gejala resdung adalah hidung selalu tersumbat, sakit tekak yang berulang dan berpanjangan, bersin dan gatal hidung yang kerap, lendir keluar dari hidung dan tekak, sakit atau muka berasa berat terutama di kawasan mata. Antara kemudaratan resdung pula ialah berdengkur yang kronik, sakit tekak kronik, jangkitan nanah di sekeliling mata, jangkitan pada otak dan tulang muka, jangkitan pada telinga dan tonsil, selsema yang melarat dan alahan hidung.


Resdung terbahagi kepada 2 jenis iaitu akut dan kronik. Resdung akut berlaku dalam tempoh 2 minggu dari serangan alahan berulang yang serius pada hidung. Ia akan menyebabkan hidung tersumbat. Antara ciri-ciri resdung akut ialah hidung berair, tersumbat dan rasa berdenyut pada muka, dahi dan pipi. Serangan biasanya berlaku pada waktu pagi dan berkurangan pada waktu petang dan rasa sakit ketika tunduk dan sujud. Resdung tahap kronik berlaku setelah berlaku serangan resdung akut yang kerap. Ini akan menyebabkan penghidap resdung merasa gatal yang teruk pada bahagian muka, jerawat yang banyak tetapi ada juga yang tiada jerawat, kerap bersin waktu pagi, keluar cecair hingus berwarna hijau dan berbau busuk.


Mereka yang berisiko menghidap resdung ialah yang alah pada habuk dan makanan, mempunyai ketumbuhan dalam hidung, mereka yang mempunyai kelainan dalam hidung seperti septum dinding pemisah hidung yang bengkok dan mereka yang mempunyai turbinate dinding tepi hidung yang besar. Resdung yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan komplikasi serius kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Resdung dikalangan kanak-kanak boleh merebak ke dalam mata yang mengakibatkan jangkitan sellulitis dan nanah mata. Jika dibiarkan ia boleh menyebabkan mata menjadi buta. Punca menjadi buta ialah kerana dinding pemisah ethmoid dengan mata sangat tipis di mana sinus frontal masih belum terbentuk.


Dikalangan orang dewasa pula, nanah dari sinus frontal tidak dapat keluar dari hidung dan ia akan masuk memenuhi ruang dalam otak. Dinding pemisah akan menjadi semakin tebal dan sinus frontal telah terbentuk dengan sempurna. Ini boleh mengakibatkan ostia mudah tersumbat. Jika nanah merebak ke dalam otak, pesakit perlu menjalani pembedahan sinus frontal dan pembedahan neurosurgery dimana kes-kes sebegini kadar kematiannya meningkat sehingga 40 peratus.

Thursday, January 23, 2014

KLIA2 Akan Dibuka Pada Suku Pertama 2014


Pembinaan KLIA2 dilakukan bagi menggantikan Terminal Pernerbangan Kos Rendah (LCCT) sekarang yang telah dibina pada tahun 2006. Menurut pemilik KLIA2 iaitu Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), terminal ini akan siap pada suku pertama 2014 dengan kos pembinaan dianggarkan RM 3.9 billion. Ia terletak hanya 2km dari KLIA dan merupakan terminal tambang murah terbesar di rantau ini seluas 242,000 meter persegi.


KLIA2 menyediakan pelbagai hub pengangkutan seperti bas, teksi dan Express Rail Link (ERL) kepada orang ramai. Kemudahan-kemudahan lain juga disediakan iaitu pengendalian sistem bagasi separa automatik, zon sokongan, kargo dan komplek bertingkat, tempat letak kereta yang mampu menampung 6,000 kenderaan, hotel dan ibu pejabat Air Asia. Pelbagai kemudahan lain bagi memenuhi keselesaan penumpang termasuklah sebuah pusat membeli belah. Hotel bajet iaitu Tune Hotel akan dibuka di sini dan kemungkinan Hotel Pan Pacific akan turut dibuka.


Terdapat 68 pintu berlepas yang menghubungkan terus ke ruang parking pesawat. Ia akan dihubungkan dengan sebuah 'skybridge' sepanjang 300 meter dimana penumpang domestik dan antarabangsa akan berjalan kaki untuk menuju ke pesawat sebelum berlepas.Ia merupakan 'skybridge' terpanjang di Asia dan ketiga di dunia. KLIA2 mampu menampung 30 juta penumpang setahun. Ada 225 ruang niaga di sini iaitu 118 lot niaga runcit, 81 lot niaga makanan dan minuman dan 26 ruang niaga perkhidmatan. Dengan pembukaan KLIA2 akan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) salah satu hub penerbangan utama di Asia Tenggara.

Monday, January 20, 2014

Apa Itu Penyakit Gout?


Mengikut definasi penyakit gout adalah satu bentuk artritis yang disebabkan oleh pengumpulan hablur-hablur asid urik pada sendi-sendi. Perkataan 'gout' berasal dari bahasa Latin iaitu 'gutta' yang bermaksud setitis. Oleh itu dipercayai bahawa gout disebabkan oleh titis humor-humor yang berkait dengan ketul-ketul mendapan urat. Dalam kebanyakan kes penyakit ini menjejaskan satu sendi khususnya ibu jari kaki. Penghidap gout akan mengalami peningkatan tahap asid urik atau pesakit menghadapi masalah penyinkiran asid urik.


Tanda-tanda gout menyebabkan penghidap akan merasa sakit yang melampau, bengkak, kemerahan serta kekakuan pada sendi yang akan membuat pesakit mengalami demam. Hablur-hablur dalam sendi akan menyebabkab sakit keterlaluan apabila tempat terjejas digerakkan. Kesan dari keradangan tisu-tisu di sekeliling sendi mengakibatkan kulit menjadi bengkak dan sakit walaupun tersentuh secara lembut. Lebih kurang 75% dari serangan pertama gout adalah di bahagian ibu jari kaki. Tetapi ia juga boleh menjejaskan sendi-sendi lain seperti tumit kaki, lutut, pergelangan tangan, siku dan tulang belakang.

Penyakit gout terbahagi kepada 4 peringkat iaitu peringkat pertama atau asimptomatik dimana aras asid urik plasma bertambah. Serangan yang teruk akan berlaku selama beberapa hari atau beberapa minggu. Peringkat kedua dipanggil akut dan kebanyakan pesakit yang mengalami serangan kedua (akut) dalam tempoh 6 bulan hingga 2 tahun dari serangan pertama. Peringkat ketiga dipanggil interkritikal dan peringkat akhir atau kronik, serangan gout menjadi lebih kerap dan ia akan membabitkan banyak sendi pada setiap masa. Kerosakan ginjal, hipertensi dan karang ginjal akan dialami oleh pesakit kes-kes kronik yang teruk.


Pesakit gout boleh menjalani terapi antihiperurisemia iaitu rawatan jangka panjang bagi serangan gout yang kerap. Diet yang disyorkan ialah makan buah-buahan segar khususnya buah ceri dan strawberi, sayur-sayur segar, jus saderi, air suling, vitamin B Kompleks dan vitamin C. Pesakit dinasihatkan mengelak memakan makanan yang mengandungi purina tinggi seperti ikan, daging, kacang pea, cendawan, daun bayam, pucuk asparagus dan kobis bunga.Salah satu ubat semulajadi yang baik ialah ekstrak buah beri iaitu terdiri dari bilberi, beri biru atau ceri. Bahan antosianida yang berwarna biru dan unggu dari beri-beri tersebut menjadi bahan anti radang selepas memasuki badan.

Friday, January 17, 2014

Pisang Goreng Coklat Cheese


Minum petang memang umphh dengan Pisang Goreng Coklat Cheese. Sekarang ni memang tengah top kat area saya. Biasa beli aje tapi kali ni saya dan suami cadang nak cuba buat pulak. Asalnya idea pisang goreng coklat cheese datang dari negara seberang. Ia sama aje macam pisang goreng biasa tapi ada tambahan bahan perasa seperti susu pekat, coklat rice dan parutan cheese cheddar.


Pada saya pisang yang sesuai ialah pisang nipah. Ia senang didapati di pasar basah atau pasar tani di tempat kita. Saya gunakan bahan yang ringkas aje yang memang sedia ada di dapur kita. Bancuh tepung gandum dan tepung beras (nak lebih garing letak sedikit kapur makan/sireh) ikut pada jumlah pisang yang hendak digoreng. Untuk dapat warna lebih menarik letak sedikit serbuk kunyit.


Panaskan minyak masak dan boleh mula goreng seperti biasa bila minyak dah panas. Bila pisang siap digoreng, angkat dan toskan. Letakkan susu pekat , taburkan coklat rice dan parutkan cheese di atas pisang yang siap digoreng...itu saja, dah siap untuk dimakan.  

Tuesday, January 14, 2014

Penyakit Buah Pinggang - Apa & Mengapa?


Penyakit buah pinggang memang ada kaitan dengan penyakit diabetes. Pemeriksaan awal bagi penghidap penyakit diabetes perlu dilakukan kerana dalam masa yang sama pesakit tersebut berisiko tinggi menghidap penyakit buah pinggang.Antara tanda-tanda penyakit buah pinggang adalah rasa loya dan muntah, sakit belakang, rasa letih dan lesu, berat badan menurun mendadak. Selain itu ia juga boleh dikesan jika bengkak pada persekitaran mata, bengkak kaki, susah tidur malam, kencing yang mengandungi darah dan perubahan kekerapan kencing.

Ada cara yang tepat untuk mengesan samada diri kita mengalami kerosakan buah pinggang dengan bertemu dengan doktor untuk menjalani ujian air kencing untuk mengesan mikroalbumin dan protein. Jika tahap mikroalbumin yang sedikit di dalam air kencing, ini menunjukkan bahawa buah pinggang kita rosak. Selain itu pemeriksaan fungsi ginjal (renal function test) boleh dilakukan di klinik-klinik swasta dengan kos yang murah untuk mengesan tanda awal kerosakan buah pinggang.

Satu laporan menyatakan bahawa setiap tahun dianggarkan wujud 2,400 kes baru akibat kegagalan ginjal. Golongan yang berumur antara 60 hingga 65 tahun telah menunjukkan peningkatan 25 peratus.Fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah dan membuang bahan toksik, membuang sisa buangan dan air berlebihan dari badan.


Walaupun begitu pesakit buah pinggang boleh menjalani dialisis yang berfungsi melakukan tugas ginjal. Selalunya pesakit yang menjalani dialisis akan melakukannya 3 kali seminggu. Pesakit buah pinggang akan melakukan dialisis seumur hidup selagi tidak menemui penderma yang berikrar dan bersetuju menderma organ tersebut kepada pesakit. Oleh itu jagalah buah pinggang anda dengan mematuhi nasihat doktor dan menjalani gaya hidup sihat.

Sunday, January 12, 2014

Kisah Tukang Beca & Bayi Perempuannya


Kisah benar ini berlaku di India. Hati mana yang tidak tersentuh bila melihat seorang penarik beca yang mengendung bayinya sambil melakukan kerjanya sebagai tukang beca. Yang sebenarnya ibu bayi ini telah meninggal sewaktu melahirkannya dan tiada sesiapa yang mahu menjaganya.

Tukang beca itu bernama Bablu Jatav berumur 38 tahun. Bayi perempuannya itu bernama Damini hasil perkahwinannya dengan isterinya yang bernama Shanti kira-kira 15 tahun yang lalu. Bablu merasa sedih atas pemergian isterinya tapi bersyukur bayi perempuannya hidup. Bablu menyatakan " Shanti meninggal selepas melahirkan Damini di hospital". Ujarnya lagi " Selepas itu tiada seorang pun yang mahu menjaga bayinya dan dia terpaksa menjaganya sendiri dan membawanya bersama ketika menarik beca".

Kerja rutin Bablu seharian ialah sebagai penarik beca di kota Bharatpur. Bablu akan mengendong bayi perempuannya dengan kain yang dililit di lehernya. Beginilah kerjanya sambil mengendong bayinya walaupun dalam cuaca yang panas terik. Pernah terjadi Bablu terpaksa membawa bayinya ke hospital kerana mengikutnya bekerja dalam cuaca panas dan mengalami septikemia, anemia dan dihidrasi yang teruk. Mujurlah bayinya berada dalam keadaan baik setelah mendapat rawatan di hospital.

Kisah Bablu dan bayi perempuan mendapat liputan meluas di India sehingga mendapat perhatian dan bantuan dari pemerintah dan orang ramai. Begitulah kisah cinta seorang ayah, bagaimana dengan kita?

Saturday, January 11, 2014

Vitamin B Satu Keperluan Lengkap Untuk Badan




Pengambilan Vitamin B amat penting untuk memastikan tahap kesihatan badan berada dalam keadaan sempurna. Fungsi Vitamin B ialah untuk menjaga sistem sarat, menyerap nutrient serta menjaga sistem penghadaman.

Dalam kehidupan seharian, kita selalu menikmati makanan yang mengandungi Vitamin B seperti kacang hijau, gandum, susu, beras, ikan, kentang manis, daging dan banyak lagi. Tetapi kita perlu tahu bahawa Vitamin B yang lengkap atau B-Complex terdiri dari 8 jenis vitamin iaitu thiami(B1), riboflavin(B2), niacin(B3), pantothenic acid(B5), pyridoxine(B6), folic acid(B9), cobalamin(B12) dan biotin.

Antara kebaikan Vitamin B-Complex ialah :-


  • Dapat membantu kestabilan saraf dan meningkatkan proses pemikiran.
  • Mencegah barah serviks.
  • Mencegah penyakit jantung dan kecacatan spina.
  • Mengurangkan rasa lesu dan tekanan emosi.
  • Menukarkan makanan kepada tenaga.
  • Menggalakkan kesihatan sistem kardiovaskular yang lebih baik.
Keperluan kepada Vitamin B adalah penting kepada golongan yang menghadapi tekanan dan beban kerja yang banyak, tidak fokus kepada pekerjaan, selalu terdedah kepada pancaran sinaran matahari, penghidap kencing manis, darah tinggi dan migran, wanita yang mengandung, berpantang selepas bersalin serta menyusukan anak, ia juga baik kepada wanita yang ingin meningkatkan tahap kesuburan (ingin mengandung).


B-Complex

Vitamin B Penting untuk Kesihatan yang baik

Adakah anda mendapat vitamin B yang mencukupi? Tekanan harian, tabiat pemakanan yang tidak sihat dan sesetengah bahan ubatan boleh meningkatkan risiko kekurangan bekalan vitamin B anda. Justeru itu, vitamin B merupakan keperluan asas dalam diet sihat kita.

B yang Lengkap dan Seimbang

B Complex Shaklee menawarkan vitamin B yang lengkap, mengandungi 8 jenis vitamin B bagi membantu memelihara kesihatan yang baik.


•    B1, B2, B3, B6, biotin dan asid pantotenik membantu   badan menukarkan protein, lemak dan karbohidrat kepada tenaga.*


•    Asid folik dan B12 membantu dalam pembentukan sel-sel darah merah di dalam tubuh. Jumlah asid folik yang mencukupi dalam diet harian membantu mencegah kecacatan tiub neural bagi wanita yang merancang kehamilan sebelum konsepsi dan semasa 12 minggu       tempoh kehamilan bagi dos harian sebanyak 400 mcg.*


Tiada perasa tiruan, pemanis, pewarna atau bahan pengawet tambahan. 


* Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuhkan atau mencegah sebarang penyakit.

Dapatkan Vitamin B-Complex untuk membantu fungsi tubuh anda dan semestinya pilihan terbaik adalah dari Vitamin B-Complex Shaklee. Dapatkan harga istimewa dari saya :


Zakiah Hj Suboh
Shaklee Independent Distributor [ID No. 1097108]
sms/whatsapp 019 7593428 | anazacky@gmail.com |

Thursday, January 9, 2014

Jenis-Jenis & Gejala Batu Karang (Kidney Stone)


Terdapat 4 jenis batu karang (kidney stone) yang ditentukan mengikut bahan dan punca seperti berikut :-

  1. Batu Asid Urik iaitu batu karang yang terbentuk daripada asid urik hasil sampingan daripada metabolisma protein.
  2. Batu Struvite sering berlaku kepada kaum Hawa berbanding kaum Adam. Ia berlaku akibat dari jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini akan meningkatkan kandungan amonia dalam air kencing seterusnya membentuk kristal struvite.
  3. Batu Kalsium adalah jenis yang paling lazim yang terhasil dari 2 bahan iaitu kalsium dan oksalat.
  4. Batu Sistein biasanya berlaku kepada individu yang menghadapi masalah genetik dimana buah pinggang akan menghasilkan berlebihan asid amino.

Bukan semua kes mempunyai gejala tetapi bagi kes tertentu jika batu karang terhasil dalam bentuk yang besar sehingga menyekat saluran tertentu yang menyebabkan jangkitan. Jangkamasa rasa sakit itu datang antara 5 hingga 15 minit. Batu karang kan berpindah dari buah pinggang ke pundi kencing melalui tiub dipanggil ureter. Ini akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian abdomen bawah. Tetapi rasa sakit akan terhenti bila batu karang berhenti bergerak. Selain itu gejala ini akan menyebabkan air kencing berdarah, rasa mual dan muntah, sentiasa rasa mahu kencing, air kencing keruh dan berbau busuk serta ada jangkitan yang menyebabkan demam dan menggigil.

Walaubagaimanapun, masalah batu karang ini boleh diatasi dengan melakukan perubahan gaya hidup. Ujian darah dan air kencing serta pemeriksan tekanan darah perlu dilakukan bagi memastikan keadaan buah pinggang adalah normal. Pemeriksaan darah dan air kencing juga membolehkan perubahan fungsi buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal seterusnya dapat segera dirawat. 

Tuesday, January 7, 2014

Inspirasi Dari Kisah Adik Nik Damia


Siapa dia Adik Nik Damia ni? yang pastinya beliau bukan seorang bintang filem ataupun finalis program realiti. Beliau hanya seorang insan mulia yang mempunyai semangat tinggi.


Adik Nik Damia Irsalina bt Daeng Malis yang berumur 7 tahun berasal dari Kg Lubuk Batu, Kuala Berang, Terengganu. Adik ini dilahirkan dalam keadaan kudung kedua belah tangan dan juga kedua belah kaki (cuba kita bayangkan). Allah itu Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui, dengan ketentuannya adik cilik ini dikurniakan 3 jari di kaki kirinya yang dapat membantunya melakukan aktiviti harian terutamanya menulis dan melukis. Walaupun keadaan fizikalnya begitu tetapi minat untuk menuntut ilmu dapat dilihat apabila teruja membelek buku dan mencuba baju sekolah yang dibeli oleh ibunya. Adik cilik ini mula bersekolah di SK Telemung pada awal tahun ini.


Kak Nik ibu adik Nik Damia telah menceritakan yang beliau tergamam bila melihat bayi yang dilahirkannya pada ketika itu, namun Allah telah memberi kekuatan kepadanya untuk terus tenang dengan mendakap dan mencium wajah comel anaknya. Ketika Adik Damia berumur 4 tahun, Kak Nik dan suami telah menonton video mengenai Nick Vujicic yang keadaan fizikalnya sama seperti Adik Nik Damia tetapi mampu berdikari.


Dalam video tersebut menunjukkan betapa gembiranya Vujicic hebat berenang, meluncur ombak dan bersukan seperti insan normal yang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya kegembiraan melihat video tersebut. Beliau menangis kegembiraan kerana masih ada sinar untuk Adik Damia di dunia ini.


Kak Nik bercadang untuk bertemu dengan Nick Vujicic semasa beliau di Kuala Lumpur pada akhir tahun 2007 tanpa temujanji. Memang hebat perancangan Allah, mereka diketemukan dan Vujicic mengajak Kak Nik sekeluarga makan bersama. Nick Vujicic sempat memberi kata-kata semangat kepada ibunya dan direkod dalam video dan berpesan kepadanya untuk menayangkan video tersebut kepada Adik Nik Damia apabila dia dewasa nanti.


Kisah Adik Damia sungguh terkesan dihati saya bahawa betapa besarnya nikmat kurnia Allah (nikmat diberi tangan, kaki, mata, telinga, hidung dll) kepada saya yang normal berbanding dengan insan istimewa Adik Damia yang serba kekurangan tetapi masih bersemangat menjalani kehidupan seharian.

Tiada jalan lain untuk kita lari dari menghadapi segala permasalahan hidup selain dari kita menempuhnya. Semoga kisah ini dapat mendorong kita untuk terus bersemangat untuk menuju kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Monday, January 6, 2014

Bagaimana Terbentuknya Batu Karang


Adakah tabiat pemakanan dan kurang minum air menjadi punca pembentukan batu karang di dalam badan kita?. Memang benar, akibat kurang minum air akan menjadikan air kencing pekat seterusnya ia mengandungi banyak bahan yang dapat membentuk batu karang. Hal ini sering berlaku di negara kita akibat dari suasana iklim yang panas dan badan memerlukan semula air yang hilang.

Lazimnya, batu karang terbentuk di buah pinggang. Fungsi buah pinggang sebagai penapis darah dan menyinkirkan bahan yang tidak diperlukan di dalam badan melalui air kencing dan najis.


Prosesnya begini, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter iaitu tempat air kencing disimpan sebelum dibuang dari badan. Batu karang terbentuk dari kalsium, oksalat, asid urik dan sistein iaitu kurang bahan berfungsi membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium.

Batu karang yang terbentuk akan merosakan buah pinggang. Selalunya batu karang akan menyebabkan rasa sakit di bahagian tepi perut. Punca utama pembentukan batu karang adalah berpunca dari tabiat pemakanan dan kurang minum air seterusnya akan menjadikan air kencing pekat. Hasilnya akan menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Dalam masa panjang, kristal itu akan bergabung dan membentuk seketul batu yang keras.


Batu karang yang kecil akan masuk ke pundi kencing tanpa mengakibatkan kerosakan. Pergerakan batu karang akan menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang atau sisi di bawah tulang rusuk. Akhirnya kesan kesakitan memuncak dapat dirasakan setelah batu itu pecah dan terhenti bergerak. Selain itu faktor-faktor lain boleh mempengaruhi perubahan air kencing adalah seperti ubat, cuaca, gaya hidup, pemakanan, keturunan dan masalah kesihatan. Ini akan memberi sumbangan kepada pembentukan batu karang.



Sunday, January 5, 2014

Mengapa Kena Jaga Kesihatan


Nikmat kehidupan yang kita perolehi sekarang adalah satu kurniaan dari yang Maha Esa. Manusia sememangnya inginkan kesempurnaan dan kebahagiaan semasa hayatnya. Tahap kesihatan yang optima memberi kualiti hidup yang lebih sempurna.

Amalan cara hidup sihat seperti selalu bersenam, cara pengambilan makanan yang betul, bebas tekanan boleh menyumbang kepada kekuatan sistem tubuh. Cara hidup sihat dapat mengawal dan mengurangkan risiko dari penyakit jantung, kencing manis, angin ahmar, darah tinggi, kanser, gout, obesiti dan masalah sendi.

Kesihatan adalah kurniaan yang paling bernilai. Berikut adalah sedikit panduan atau tip yang boleh kita amalkan :-
  1. Makan dari sumber makanan organik. Penyebab utama kepada penyakit di dalam badan kita adalah cara pemakanan yang tidak betul. Elakkan daripada makan makanan berasid seperti daging secara berlebihan. Makanan yang mengandungi bahan pengawet, bahan perasa menyebabkan tubuh badan menjadi lemah dan kurang daya tahan penyakit.
  2. Minum air bersih secukupnya. Kita digalakkan mengambil 6-8 gelas air sehari atau bersamaan 2 liter sehari. Elakkan meminum minuman bersoda dan bergas, selain itu elakkan minuman jus kerana mengandungi kadar gula yang tinggi.
  3. Jangan merokok dan elakkan mengambil alkohol. Merokok adalah penyebab utama kanser paru-paru dan penyakit jantung yang sering dihidapi oleh kaum lelaki. Pengambilan alkohol telah menyebabkan banyak masalah sosial. Kadar pengambilan alkohol yang tinggi boleh menyebabkan kerosakan hati dan risiko sakit jantung.