Sunday, February 16, 2014

Warna-Warni Yang Ada Pada Sayuran Dan Buah-Buahan


Punyai tahap kesihatan yang baik amat diidamkan oleh semua orang. Justeru itu pengambilan bahan makanan yang sempurna yang punyai khasiat adalah perlu. Sumber makanan dari buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sebahagian dari diet harian yang perlu diambil. Sedia maklum diketahui bahawa sumber makanan tersebut kaya dengan serat, mineral, vitamin dan fitokimia iaitu bahan-bahan yang menyihatkan badan. Fitokimia mempunyai fungsi anti-oksidan yang yang boleh melawan penyakit terutamanya kanser.

Secara fizikalnya kita boleh lihat pelbagai variasi warna yang terdapat pada kebanyakkan sayuran dan buah-buhan yang banyak terdapat di pasar basah atau di pasaraya utama berhampiran dengan kita. Tahukah anda bahawa setiap warna yang ada pada sayuran dan buah-buahan tersebut mengandungi khasiatnya tersendiri.


Warna Kuning Atau Jingga

Antara contoh sayuran dan buah-buahan ialah seperti betik, lobak merah, mangga, limau, cili benggala kuning, tembikai kuning, tomato, keledek, oren dan labu. Warna kuning dan oren kaya dengan kandungan zeaxanthin, beta-karoten, kalium, potassium, vitamin C. Ia berfungsi untuk meningkatkan ketahanan tubuh dari jangkitan, baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi, mengurangkan pembentukan plak di arteri, bertindak sebagai pencuci perut dan baik untuk kesihatan mata.


Warna Hijau

Sayuran dan buah-buahan yang berwarna hijau berasal dari klorofil yang mengandungi isothiocyanate, indoles dan sulfarophane yang berfungsi untuk merangsang komponen pemecah unsur kimia iaitu penyebab kanser. Ia juga dapat melawan radikal bebas yang berbahaya dan membantu menurunkan kadar kolesterol LDL. Antaranya adalah seperti lada benggala hijau, buah kiwi, sayuran berdaun hijau iaitu kangkung, sawi, cekor manis, bayam, kacang panjang, kacang botol, timun, epal hijau dan lain-lain.


Warna Putih

Sayuran dan buah-buahan yang berwarna putih memang kaya dengan vitamin C, kalium, serat, beta-glukan, EGCG, lignan yang dapat menurunkan risiko kanser usus besar, kanser payudara, kanser prostat dan meningkatkan keseimbangan hormon. Contoh sayuran dan buah-buahan adalah seperti jambu batu, lobak putih, sengkuang, pisang, buah pir, kubis cina, kentang, manggis serta bunga kobis.


Warna Merah

Sayur dan buah yang berwarna merah mengandungi zat seperti lycopene, lutein, asam ellagic dan hesperidin yang boleh mengawal pertumbuhan tumor, mengurangkan pelbagai risiko kanser dan penyakit jantung. Jenis buah-buahan dan sayuran termasuklah tomato, tembikai merah, bayam merah, jambi air, cili dan lada benggala merah.


Warna Biru Atau Unggu

Warna biru atau unggu yang terdapat pada sayuran dan buah-buahan mengandungi magnesium dan kaya dengan fitokimia seperti anthocyanin yang berfungsi untuk melancarkan pencernaan dengan menurunkan kadar kolesterol dan asid hempedu di dalam usus untuk dihantar keluar dari tubuh. Ia juga dapat meningkatkan penyerapan kalsium dan mineral lain, melawan keradangan dan mengurangkan pertumbuhan tumor. Contohnya adalah seperti buah anggur, terung, kubis unggu, buah plum, buah naga merah dan beri biru. 

No comments:

Post a Comment