Friday, February 21, 2014

Permudahkan Urusan Ibu Dan Ayah


Bulan lepas saya diberitahu oleh emak saya mengenai temujanji untuk buat 'scan' jantung di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. 'Appointment' tersebut bertarikh 17 Februari 2014 hari Isnin. Kami adik beradik taklah ramai, 3 orang sahaja seorang kerja jauh di utara, seorang lagi kerja dan saya soranglah yang 'free' pada ketika itu sebab saya memang kerja 'freelance'. Mungkin itulah hikmahnya saya berhenti kerja makan gaji dan memilih bekerja sendiri sepuluh tahun yang lepas. Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui dalam membuat perancangan kepada mahlukNya.


Emak saya mengidap penyakit buah pinggang 13 tahun yang lalu. Pada ketika itu, penyakit ini hanya dapat dikesan ditahap kronik. Kedua-dua buah pinggang mengecut dan terpaksa dibuang untuk mengelakkan kemudaratan kepada badan. Mengimbas kembali kisah ini bahawa penyakit yang dihidapi oleh emak saya memang tidak dijangka. Berat badan menjadi susut secara drastik yang mana sebelum ini emak saya sihat dan punyai berat badan normal. Setelah buat 'medical check-up' baru dapat 'detect' emak saya menghidapi penyakit buah pinggang tahap kronik iaitu sebelah sudah mengecut dan sebelah hampir tidak berfungsi. 



Punca sebenarnya datang dari batu karang yang terbentuk salur dipundi kencing. Setelah beberapa sesi perjumpaan dengan doktor, pembedahan perlu dibuat untuk buang buah pinggang yang rosak dan mengeluarkan batu karang. Keadaan memang kritikal pada masa itu kerana kuman telah mula berjangkit kepada organ yang lain. Keadaan emak yang lemah dengan tekanan darah yang rendah dan koma menyukarkan untuk meneruskan operasi pembedahan. Emak dimasukkan ke ICU untuk beberapa hari untuk menstabilkan tekanan darah dan melawan jangkitan kuman. 


Alhamdulillah, selang beberapa hari pembedahan berjaya dilakukan dan kedua-dua buah pinggang terpaksa dibuang dan emak perlu menjalani dialisis seumur hidup selagi tiada orang yang mendermakan buah pinggang. Jadi bermulalah episod baru dalam kehidupan emak saya yang perlu menjadi dialisis 3 kali seminggu. Pada ketika itu tiada pusat dialisis yang berhampiran dengan kampung kami. Tempat dialisis yang paling hampir ialah di Johor Bahru. Maknanya ibubapa saya kena mengharungi perjalanan dengan menaiki bas ke pusat dialisis tersebut sejauh 60km. Kena keluar rumah awal pagi untuk sampai ke pusat dialisis tersebut pada waktu yang telah ditetapkan untuk mulakan sesi dialisis. Setiap sesi dialisis mengambil masa 3 jam untuk selesai. Selalunya selepas selesai dialisis badan rasa letih, inikan pulak kena naik bas lagi untuk pulang ke rumah. 

Begitulah rutin kedua ibubapa saya 3 kali seminggu untuk beberapa tahun. Satu pusat dialisis telah dibuka di kampung berhampiran dan alhamdulillah berita baik untuk emak saya kerana pusat dialisis tersebut menyediakan pengangkutan pergi balik dengan kos yang berpatutan. Sebelum itu kos dialisis bagi setiap sesi ialah dalam lingkungan RM 200 maknanya untuk sebulan kami terpaksa berbelanja hampir RM 3000 seumur hidup. Oleh itu jagalah kesihatan kita selalu dengan mengamalkan diet dan cara hidup yang sihat selain kerap membuat pemeriksaan doktor untuk memastikan tahap kesihatan kita dan berdoa supaya kita diberi kesihatan yang baik dan terpelihara dari gejala penyakit.


Sekarang emak saya telah 13 tahun menjalani dialisis dan alhamdulillah punyai tahap kesihatan baik tapi tak boleh buat kerja berat dan tak boleh berjalan jauh. Lihat pada keadaannya nampak letih kerana kebergantungan kepada mesin dialisis untuk terus hidup. Alhamdulillah juga sebab emak saya tiada kencing manis dan darah tinggi. Tahap kesihatan yang sempurna dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada manusia. Temujanji untuk 'scan' jantung mengambil masa yang singkat sahaja dan laporannya terus dapat untuk diberi kepada doktor pakar di Hospital Pontian. Allah telah melapangkan masa saya dan telah mempermudahkan urusan untuk emak saya. Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancang.

Nukilan - Khairil Anuar Abd Karim

No comments:

Post a Comment