Sunday, April 27, 2014

Ambil Peduli Hal Penyakit Demam Denggi


Penyakit akibat bawaan nyamuk Aedes semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Demam denggi amat merbahaya yang boleh membawa maut. Virus denggi dijangkiti kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang boleh menyebarkan penyakit dalam jangka masa 8 sehingga 12 hari selepas menghisap darah manusia. Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus ke generasi seterusnya melalui ovari.


Vektor demam denggi ialah nyamuk Aedes betina. Melalui gigitan , virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darah. Penyakit ini berpunca dari 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4.

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, sakit kepala yang teruk, sakit belakang bebola mata, sakit sendi dan otot dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang. Selain sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak dan dalam kes luarbiasa radang otot jantung.


Rawatan utama ialah terapi sokongan dimana pesakit digalakkan untuk banyak minum air dan makan. Tambahan cecair intravena diperlukan sekiranya hilang selera makan dan minum bagi menghalang kekeringan air dalam tubuh badan. Pemindahan darah diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya. Minum air mineral sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

Pada masa ini tiada vaksin untuk demam denggi flavivirus. Pencegahan utama adalah dengan menghapuskan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air di pasu-pasu bunga dan bekas-bekas kosong terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk ini. Penggunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik selain penggunaan kelambu dan semburan (fogging) dapat membantu menghapuskan nyamuk dewasa.


Di Malaysia, statistik dari Kementerian Kesihatan iaitu dari Januari 2014 sehingga 13 April 2014 terdapat 27,562 kes dan jumlah kematian 64 orang berbanding pada tempoh sama 2013 terdapat 6,990 kes dan 14 kematian. Statistik ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara dalam tempoh setahun, jadi ambil kisah tentang penyakit bawaan nyamuk ini bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa. Mencegah lebih baik dari mengubati.

No comments:

Post a Comment